SHAH ALAM - DAP kini melonggarkan syarat bagi membenarkan pemimpin dan wakil rakyatnya menerima anugerah serta darjah kebesaran daripada Sultan mahupun Yang Dipertua Negeri.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, berkata perubahan dasar itu dibuat berikutan terdapat wakil rakyat DAP yang menerima tawaran anugerah secara terus, termasuk gelaran Datuk dan Datuk Seri.
"Sebelum ini, kita ada dasar yang tidak membenarkan wakil rakyat DAP menerima anugerah 'Datuk' dan lain-lain.
"Tetapi selepas hampir 17 tahun berada dalam kerajaan negeri dan Persekutuan, kita melihat kembali syarat serta dasar ini.
"Tidak boleh terlalu ketat kerana ada kalanya Sultan sendiri yang mahu menganugerahkan gelaran 'Datuk' kepada wakil rakyat kita," katanya.
**media[3047679]**
Beliau berkata demikian dalam ucapan dasarnya sempena Kongres ke-18 DAP di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, pada Ahad.
Dalam kongres tersebut, pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP turut diadakan, menyaksikan 65 calon bersaing merebut 30 tempat dalam jawatankuasa berkenaan.
Bagaimanapun, Anthony menegaskan bahawa CEC akan menetapkan syarat tertentu bagi setiap penganugerahan darjah kebesaran kepada pemimpin DAP.
"Perlu ada syarat. Untuk menerima gelaran Datuk, sudah tentu ada syarat tertentu.
"Perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat CEC yang akan datang supaya dasar yang lebih fleksibel dapat dilaksanakan.
"Pemimpin yang sudah bersara sememangnya dihargai, terutamanya Tan Sri Lim Kit Siang, yang menerima penghormatan tertinggi," ujarnya.